EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han menjawab soalan pemberita ketika sidang media selepas merasmikan Simposium Pengurusan Strata Kelas Pertama Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) di Hotel Park Royal Collection, Kuala Lumpur pada 20 Oktober 2022. Turut sama Yang Dipertua MPKS Rahilah Rahmat. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Bas Smart Selangor ditambah baik, dijenama semula

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Perkhidmatan Bas Smart Selangor akan disuntik elemen baharu dalam Belanjawan 2023 susulan menerima maklum balas positif.

EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han berkata penjenamaan semula akan dilakukan berikutan perkhidmatan pengangkutan awam itu mendapat sambutan hebat daripada rakyat.

“Belanjawan negeri dibentang Dato’ Menteri Besar bulan depan adalah sesuatu yang dinanti rakyat Selangor dan bagi portfolio saya akan ada beberapa pengumuman menarik akan dibuat seperti pengangkutan awam.

“Bas Smart Selangor akan dijenamakan semula. Tiba masanya pengangkutan awam di negeri ini diberi suntikan elemen baharu berikutan sambutan hebat daripada rakyat,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Simposium Pengurusan Strata Kelas Pertama di Park Royal Collection di sini, semalam.

Tambah Sze Han, bagi pembangunan kampung baru pula beliau berharap belanjawan kali ini dapat memfokuskan pembangunan infrastruktur dan menjana ekonomi.

“Buat masa ini, kita kena fikirkan kaedah sesuai untuk memulihkan ekonomi setempat seperti memberi peluang pekerjaan khususnya kepada golongan muda,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Belanjawan Selangor 2023 yang dijadualkan hujung Oktober ini ditunda kepada 25 November bagi memberi laluan kepada proses pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Jelas beliau, Speaker Ng Suee Lim akan memohon perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berhubung keputusan itu.


Pengarang :