M Kamalesswaree Fiona, 35 melihat risalah Skim Hijrah Selangor ketika sidang media berkenaan pembiayaan khas kepada peniaga India sempena perayaan Deepavali di Bilik Mesyuarat Semarak Api Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 12 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Hijrah bantu 62,000 usahawan, sedia dana pusingan lebih RM632 juta

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

KLANG, 25 OKT: Kira-kira 62,000 usahawan sekitar Selangor dibantu menerusi pembiayaan mikrokredit Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) sejak 2015, membabitkan dana pusingan lebih RM632 juta.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata jumlah itu membuktikan program pembiayaan berkenaan membantu usahawan kecil negeri ini mengembangkan perniagaan mereka.

“Ketika ia bermula hanya RM70 juta saja tetapi kini dana pusingan mencecah lebih RM632 juta sekali gus membuktikan yang program ini membantu komuniti usahawan kecil Selangor dalam menjalankan dan mengembangkan perniagaan mereka.

“Dengan pembiayaan mikrokredit sehingga RM100,000 inisiatif Kerajaan Selangor ini membantu usahawan kecil mengembangkan perniagaan serta menambah modal,” katanya selepas melancarkan aplikasi Komuniti Bisnes GM Klang di sini hari ini.

Dengan ciri khas padanan perniagaan, aplikasi Komuniti Bisnes GM Klang menghubungkan usahawan atau mereka yang berminat untuk memulakan perniagaan dengan lebih 700 pemborong di GM Klang bagi mengenalpasti pemborong dan produk yang sesuai dengan perniagaan mereka.

Mengulas lanjut, Rodziah berkata aplikasi berkenaan juga boleh dipertingkatkan dengan pelbagai fasiliti termasuk pusat maklumat mengenai Hijrah Selangor bagi memberi pendedahan kepada pengguna mengenai platform untuk mereka menambah modal.

“Mungkin ada usahawan dari Selangor yang berminat tetapi mereka kurang modal, jadi jika adanya kerjasama antara GM Klang dan Hijrah Selangor maklumat berkaitan boleh dimuatnaik dalam aplikasi berkenaan,” katanya.

Hijrah Selangor menawarkan lapan skim pinjaman untuk meningkatkan pendapatan usahawan termasuk I-Bisnes, Zero to Hero, Go Digital, Niaga Darul Ehsan (NaDI) i-Lestari, i-Agro, i-Bermusim dan program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham).


Pengarang :