AGENSISELANGOR

Jais tubuh Akademi Literasi al-Quran, masjid negeri jadi hab kitab suci

SHAH ALAM, 9 OKT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menubuhkan Akademi Literasi al-Quran bagi melahirkan umat Islam mahir membaca, mengajar, mengamal dan mempersenikan kitab suci.

Pengarahnya Dato’ Shahzihan Ahmad berkata seramai 60 pensyarah dilantik bagi memberdaya pembacaan al-Quran berpandukan riwayat Hafs ‘An ‘Asim melalui Toriq Syatibiyyah.

“Akademi ini juga bertanggungjawab menegur mereka yang melakukan kesilapan dalam bacaan dan penulisan al-Quran.

“Akademi juga memberdaya pembinaan latihan kepada imam masjid dan surau, guru sekolah, pemegang tauliah mengajar al-Quran D3, hakim termasuk peserta tilawah dan hafazan,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Shahzihan memberitahu Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini secara rasmi menjadi hab al-Quran di Selangor melalui penubuhan akademi berkenaan.

“Akademi ini memberi latihan intensif kepada mereka yang berpotensi dan berbakat dalam mempersenikan al-Quran selain membina kemahiran menulis kaedah Rasm Utmani dan Dabtul Quran.

“Selain itu, ia memberi pengetahuan asas berkaitan ilmu Qiraat menggunakan kitab muktabar serta menawarkan pelbagai kursus berkaitan al-Quran,” katanya.

Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melancarkan akademi berkenaan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri 1444H/2022M di sini hari ini.


Pengarang :