SABAK BERNAM,15 OKT: Kebajikan masyarakat khususnya golongan berpendapatan rendah sentiasa menjadi keutamaan Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis).
Yang Dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhamad berkata Pekawanis memberi bantuan tunai dan barangan keperluan harian kepada golongan tersebut bermula 2008 sehingga kini.
“Kita beri sumbangan terutama ketika perayaan Aidilfitri, Deepavali dan Tahun Baharu Cina. Contohnya, untuk sambutan Deepavali tidak lama lagi, Pekawanis memperuntuk 1,400 penerima terdiri daripada ibu tunggal dan B40.
“Bantuan diberikan wang tunai RM100 dan sedikit keperluan. Ini cara kita membantu untuk meringankan beban dan menggembirakan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi Program Bual Bicara dan Hi-Tea Puspanita Sabak Bernam bersama Pekawanis sempena Jelajah Selangor Penyayang daerah tersebut.
Tambah Masdiana, selain bantuan tersebut, Pekawanis turut mengadakan program motivasi seperti pendidikan kepada masyarakat.
“Antara topik dibawa seperti bahaya penggunaan internet tanpa batasan atau pemantauan terhadap anak-anak,” katanya.