Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Pelancaran Iltizam & Jentera Wanita HARAPAN PRU-15 di Dewan Raja Muda Musa di sini, hari ini. FOTO SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar: Kekal tidak bubar DUN untuk bantu mangsa banjir

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 15 OKT: Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) menegaskan keputusan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang adalah untuk menumpukan bantuan kepada mangsa banjir.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ketetapan itu bagi membolehkan kerajaan negeri yang sah menyalurkan bantuan kepada mangsa.

“Itu memang dasar kita, kerajaan tidak boleh guna wang dan peruntukan untuk jentera bagi pilihan raya. Sebab itu kalau sebaik saja diletak jawatan macam kerajaan Persekutuan dan negeri (sekarang) mereka sudah melanggar prinsip undang-undang dan peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Jadi tumpuan Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang adalah semata-mata untuk bantu mangsa banjir, perencanaan bantuan dan meringankan beban mangsa,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Iltizam & Jentera Wanita HARAPAN pilihan raya umum ke-15 di Dewan Raja Muda Musa di sini, hari ini.

Pada 5 Oktober, Anwar memutuskan tiga negeri ditadbir HARAPAN iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubarkan DUN sekiranya PRU15 diadakan tahun ini.

Pengerusi HARAPAN itu menjelaskan fokus pentadbiran ketiga-tiga negeri terbabit adalah menangani isu banjir yang akan memberi kesan kepada rakyat.


Pengarang :