KUALA LUMPUR, 10 OKT: ITP Foods Sdn Bhd (ITP Foods) bakal menembusi pasaran Hong Kong apabila produk keluarannya mendapat perhatian dalam Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022.
Pengurus Pembangunan Perniagaannya Anderson Khor Choon Joo berkata peluang itu hadir selepas reruainya dikunjungi usahawan negara terbabit yang berminat mengimport produk sos dianggarkan bernilai RM20,000 hingga RM30,000 pada peringkat permulaan.
“Saya rasa pihak berkaitan sudah berhubung dengan Invest Selangor Berhad bagi mendapatkan pandangan mengenai penglibatan syarikat dan produk yang ada dalam pameran ini.
“Sekarang ITP Foods dalam proses rundingan dan ini membuka ruang kami memasuki pasaran Hong Kong seterusnya China kerana mereka juga ada rangkaian perniagaan di negara itu,” katanya kepada Selangorkini.
Beliau berkata, sos keluaran syarikat tersebut sudah menembusi pasaran Kanada, Taiwan dan Singapura, terdiri daripada sos cili, tomato, barbeque dan keju nachos asli dalam tiub unik bagi memudahkan pengguna selain beberapa produk makanan segera.
Katanya, usahawan Hong Kong terbabit akan memasarkan sosnya di pasar mini dan pasar raya negara itu.
“Selain itu, produk keluaran ITP Foods juga menarik minat pengusaha tempatan dan berpotensi dipasarkan ke seluruh negara,” katanya menjangka syarikat mampu menyediakan produk bernilai hampir RM50,000 bagi tujuan berkenaan.
SIBS tahun ini berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 6 Oktober hingga semalam menampilkan enam acara utama iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman), Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan) dan Ekspo Taman Perindustrian Selangor.
Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor; Ekspo Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi Selangor serta Persidangan Perniagaan Asia turut diketengahkan.