Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR
KUALA LANGAT, 16 NOV: Kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya umum kali ini penting bagi mengembalikan maruah pengundi yang tercalar susulan perbuatan khianat beberapa pemimpin.
Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata gabungan itu akan memastikan nasib semua kaum dari segenap lapisan umur terbela sekirannya kembali menerajui Putrajaya.
“Anda semua yang jadi pejuang sebenarnya dan tanggungjawab kerajaan baru, Perdana Menteri baru menjadi pembela dan perjuangkan nasib rakyat di bawah bukan orang-orang atas.
“Jadi gunakan 19 November ini untuk tolak semua pengkhianat ini. Ini bukan soal Melayu, Cina atau India, ini soal maruah dan hak kita kerana kita mahukan Malaysia yang selamat bagi semua kaum. Kita kena jaga semua, kalau saya jadi ketua, saya kena ikhlas. Semua kaum keluarga saya,” katanya.
Berucap dalam ceramah meganya di Kuala Langat semalam, Anwar menyeru rakyat membuat pilihan bijak bagi memenangkan calon HARAPAN, Manivanan Gowin yang melawan Pesuruhjaya PAS Selangor Dato’ Dr Ahmad Ahmad Yunus Hairi (Perikatan Nasional) dalam saingan enam penjuru.
“Calon ini (Manivanan) saya teliti sendiri supaya betul-betul boleh jadi suara reformis,” katanya.
Anwar meneruskan jelajah sama ke tujuh lagi parlimen di Selangor hari ini yang diakhiri dengan Grand Finale Jelajah Mega HARAPAN di Dewan Serbaguna AU 2 (sebelah Padang MPAJ AU2 Taman Keramat) jam 8 malam.