SHAH ALAM, 27 NOV: Belanjawan Selangor 2023 disifatkan mesra rakyat dan tidak meminggirkan mana-mana golongan dan kaum, kata wakil rakyat Meru.
Mohd Mokthar berkata imbuhan kepada penjawat awam sebanyak dua bulan setengah juga tanda penghargaan kepada kakitangan.
“Setakat ini saya rasa tiada mana-mana negeri mampu lawan Selangor berikan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan setengah kepada penjawat awam.
“Ini tanda kita amat menghargai mereka dan ia bukan diberi kepada anggota perkhidmatan negeri sahaja sebaliknya penjawat awam yang gajinya dibayar kerajaan persekutuan turut menerima manfaat ini,” katanya ketika dihubungi.
Manakala, Mohd Fakhrulrazi berkata Kerajaan Negeri turut tidak meminggirkan golongan agamawan dengan memperkasa pelbagai manfaat dan insentif kepada mereka.
“Contohnya kenaikan elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) kepada RM1,500 itu juga dapat meringankan beban guru ini kerana rata-rata mereka adalah daripada golongan berpendapatan rendah (B40).
“Saya berharap dengan kenaikan ini dapat membantu guru Kafa lebih produktif dan meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan mereka,” katanya lagi.
Pada Jumaat, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan Belanjawan Selangor 2023 bertemakan #KitaSelangor: Melonjak Kemajuan, Mengerat Perpaduan, Menjayakan Harapan.
Menerusi belanjawan itu, Kerajaan Negeri memperuntuk RM2.45 bilion dalam Belanjawan 2023 sebagai persediaan mendepani kelembapan ekonomi tahun depan.