SHAH ALAM, 11 NOV: Datuk R Ramanan menyediakan dua bot sebagai persediaan menyelamat dan memindahkan penduduk Parlimen Sungai Buloh sekiranya berlaku banjir.
Calon Pakatan Harapan parlimen berkenaan juga memanfaatkan pengalamannya sebagai jurutera untuk mengenal pasti punca banjir kilat di Kampung Melayu Subang.
“Kita sudah teliti punca banjir semalam dan jalan penyelesaian akan diumumkan malam esok. Pengalaman sebagai seorang jurutera memudahkan saya mengetahui punca kejadian ini.
“Malam esok juga saya akan umum beberapa persediaan untuk membantu mangsa banjir. Yang pasti langkah kita umum ini bukan penyelesaian bersifat sementara,” katanya kepada SelangorKini.
Terdahulu beliau meluang masa bersarapan bersama penduduk di Restoran Subang Pit Stop di Kampung Melayu Subang di sini hari ini.
Semalam, sebanyak 120 rumah di Kampung Melayu Subang, Seksyen U6 terjejas banjir kilat selepas hujan lebat sejak 3.30 petang semalam.
Bagaimanapun tiada mangsa dipindahkan ke pusat penempatan sementara berikutan air setinggi hampir 0.5 meter surut beberapa jam kemudian.
Turut terjejas beberapa lokasi sekitar Shah Alam dan Klang dengan ratusan mangsa dipindahkan ke tiga pps.