Kerajaan Selangor juga menyalurkan bantuan RM300 sebulan atau RM3,600 setahun kepada keluarga kurang berkemampuan yang terbeban dengan kenaikan kos sara hidup. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Hasrat HARAPAN teruskan program bantuan disokong, rakyat memerlukan terbela

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SEPANG, 11 NOV: Inisiatif meneruskan Bantuan Sara Hidup (BSH) yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) mendapat reaksi positif rakyat.

Program tersebut diteruskan mengambil kira keadaan ekonomi semasa yang semakin mencabar.

Peniaga pakaian Maslinda Mohd Kusaini, 53, berkata bantuan itu sekurang-kurangnya meringankan beban rakyat yang memerlukan.

“Saya meniaga sudah 20 tahun. Adat orang berniaga memang ada pasang surutnya lebih-lebih lagi jika secara kecil-kecilan.

Maslinda Mohd Kusaini. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

“Tapi jika benar BSH mahu diteruskan, memang sangat elok. Mungkin sekarang masa ada duit kita rasa tak perlu tetapi jika tiba masanya dugaan menimpa, siapa tahu bantuan itulah yang membantu nanti,” katanya kepada Selangorkini.

Kakitangan swasta Nurul Huda Zakaria, 33, berkata ia wajar diteruskan terutama untuk golongan belia dan bujang.

“Memang wajar diteruskan terutama untuk belia yang baru nak mencari kerja sebab sekarang ini nak dapat kerja susah, ekonomi tidak stabil dan harga barang pun semakin meningkat.

Nurul Huda Zakaria. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

“Untuk bujang terutamanya dan belia kerana kebanyakannya baru nak mula hidup. Cuma jika boleh diubah pelaksanaan dengan pemberian secara ‘one-off’ tanpa berperingkat,” katanya.

Suri rumah Rozita Hamdahsoon, 45, berkata inisiatif itu memang baik untuk diteruskan namun perlu ada pihak yang turun padang berjumpa masyarakat dan menerangkan perinciannya.

“Memang elok diteruskan cuma wakil perlu turun padang untuk terangkan cara memohon dan sebagainya kerana bukan semua orang tahu guna teknologi dan tidak lihat telefon sepanjang masa.

“Seperti saya, suami terlantar, sebelum ini anak nak sambung belajar pun susah kerana kurang pendapatan. Ada kawan lain komputer pun tak mampu beli, tiba-tiba tahu bantuan sudah diagihkan. Inisiatif nak diteruskan itu bagus tetapi jika tak sampai kepada golongan sasar susahlah,” katanya.


Pengarang :