Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) meninjau lokasi tanah mendap di Pangsapuri Cemerlang, Gombak pada 13 Jun 2020. Foto Twitter Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Cepat selesai masalah, penduduk hargai usaha Amirudin baik pulih tanah mendap

GOMBAK, 8 NOV: Penduduk Pangsapuri Cemerlang di sini, menghargai keprihatinan Dato’ Seri Amirudin Shari yang membantu mempercepatkan kerja baik pulih tanah mendap di kawasan perumahan itu.

Dato’ Menteri Besar yang juga calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Gombak meluluskan peruntukan RM1.4 juta pada 2020 bagi melakukan kerja terbabit yang siap pada Mac tahun lalu.

Penduduk Pangsapuri Cemerlang Hidzar Mohd Aris. Foto AMIN RIDZUAN ISHAK/SELANGORKINI

Penduduk Hidzar Mohd Aris, 47, berkata masalah itu mula dikesan pada hujung 2019 apabila berlaku tanah runtuh dan Amirudin sendiri turun padang melihat permasalahan berkenaan.

“Beliau buat kerja cepat dan terus umum peruntukan, penduduk lega lihat kerja-kerja baik pulih telah siap.

“Memang bagus bila ada pemimpin macam beliau, terus cari jalan penyelesaian untuk pastikan keselamatan penduduk terjamin,” katanya kepada Selangorkini hari ini.

Bagi Safwan Ibrahim, 31, penduduk sebelum ini dalam kebimbangan dengan risiko tanah runtuh seperti berlaku di perumahan Bukit Antarabangsa pada 2009 yang memusnahkan harta benda dan meragut nyawa.

Penduduk Pangsapuri Cemerlang Safwan Ibrahim. Foto AMIN RIDZUAN ISHAK/SELANGORKINI

“Tidur pun tidak lena waktu itu sebab bimbang kalau tanah runtuh berlaku lagi, mujur mereka ambil tindakan awal elak runtuhan lebih buruk.

“Sekarang malam boleh tidur lena selepas kerja baik pulih tanah mendap siap tahun lalu,” katanya yang menetap di perumahan itu sejak 2017.

Pada Jun 2020, Amirudin mengumumkan sejumlah RM1.4 juta untuk membaiki tanah mendap di Pangsapuri Cemerlang yang dikesan pada April 2019.

Awalnya penduduk mengesan lubang sebesar bola di bahagian tepi rumah, namun keadaan semakin memburuk apabila hujan berlaku.

Bagi Parlimen Gombak, Amirudin ditentang Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dari Perikatan Nasional, Datuk Megat Zulkarnain Omardin (Barisan Nasional), Datuk Dr Aziz Jamaluddin (Pejuang) dan Zulkifli Ahmad (Bebas).


Pengarang :