Petugas kesihatan memeriksa tekan darah sebelum membenarkan suntikan vaksin pneumokokal dan influenza kepada warga emas ketika program Vaksinasi Selcare di Keramat Permai, Gombak pada 13 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Program kesedaran penyakit tidak berjangkit, kesihatan mental ditambah baik

SHAH ALAM, 27 NOV: Kerajaan Negeri akan meningkatkan penganjuran program kesedaran berkaitan penyakit tidak berjangkit dan kesihatan mental pada tahun hadapan.

EXCO pembangunan wanita dan keluarga berkata inisiatif Selangor Sihat dan Saring Selangor turut diperkasa bagi memastikan lebih ramai menerima manfaat.

“Perancangan tahun hadapan kita akan mulakan dengan meyambung program Selangor Sihat dan menambah baik Saring Selangor termasuk masalah mental dan kanser.

“Kita akan tambah baik contohnya pertingkat program kesedaran penyakit tidak berjangkit untuk mengelak masyarakat menghidapnya. Kita akan adakan program dengan mempelawa rakyat supaya dapat memupuk kesedaran kepentingan mencegah berbanding merawat,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Hari Kanak-Kanak anjuran Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas)  di Pusat Prasekolah AnIS, Seksyen 7 di sini, hari ini.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk sejumlah RM 65.6 juta bagi  meneruskan pelbagai program berkaitan kesihatan awam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata  sebagai contoh program Iltizam Selangor Sihat (ISS) dengan peruntukan tahunan berjumlah RM45 juta memanfaatkan 100,000 pemegang polisi utama dan kira-kira 150,000 ahli keluarga berdaftar.

Beliau berkata program kesihatan lain yang diteruskan ialah Bantuan Sihat Selangor, Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor, Iltizam Selangor Sihat Penjawat Awam, Selangor Saring, Selangor Kanser, Selangor Mental Sihat, Program Anak Selangor Anak Sihat dan kempen kesedaran serta penyediaan tuala wanita percuma.

 


Pengarang :