OLEH AZIAN AZIZ
GOMBAK, 5 NOV: Dato’ Menteri Besar memberi jaminan masalah hak milik strata 2,000 unit rumah Flat Pinggiran Batu Caves dan pewartaan surau di sini selesai tahun depan.
Dato’ Seri Amirudin Shari turut menjangka pewartaan Kelas al-Quran dan Fardu Ain Integrasi (Kafa-i) persendirian yang dibina penduduk flat berkenaan siap Februari depan.
“Jabatan Agama Islam Selangor sedang urus dan aturkan, proses kertas kerja juga sedang disiapkan.
“Insya-Allah saya dimaklumkan masalah pewartaan dan pemilikan KAFA dan surau ini akan selesai Februari (tahun depan),” katanya dalam majlis minum petang bersama penduduk setempat petang semalam.
Sebelum itu, beliau menyerahkan sumbangan bernilai RM5,000 kepada imam surau berkenaan Amri Ibrahim selepas selesai menunaikan solat Asar bersama kira-kira 100 kariah.
Flat Pinggiran Batu Caves yang dihuni kira-kira 8,000 penduduk berusia 30 tahun manakala surau dan Kafa-i tersebut siap dibina dan digunakan pada 1995.