SHAH ALAM, 25 NOV: Peminat muzik rock jangan lepaskan peluang menyaksikan konsert kumpulan Wings anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 3 Disember ini.
Pihak berkuasa tempatan itu berkata konsert kumpulan lagenda rock berkenaan diadakan sempena PJ International Folklore Festival! yang ketika ini sedang berlangsung.
“Jangan lepaskan peluang keemasan ini! Konsert Wings percuma untuk anda semua bermula jam 9.00 malam.
“Sila kongsikan kepada kawan, rakan sekerja, keluarga dan jiran anda untuk hadir ke konsert ini untuk berhibur bersama kumpulan Wings!,” katanya menerusi Facebook.
Konsert itu akan diadakan di Padang Timur, Petaling Jaya dan untuk maklumat lanjut layari laman web MBPJ di www.mbpj.gov.my atau Facebook Majlis Bandaraya Petaling Jaya.