Oleh Diana Abd Wahab
SHAH ALAM, 26 NOV: Sebanyak RM33.648 diperuntuk bagi membaik pulih 138 bangunan seliaan Jabatan Kemajuan Islam Selangor (Jais).
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan dana tersebut melibatkan kemudahan antaranya sekolah, masjid dan surau yang rosak akibat banjir besar pada 18 Disember 2021.
“Sebanyak 33 sekolah, 32 masjid dan 73 surau yang alami kerosakan akibat bencana akan dibaiki dengan segera,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2023.
Taburan hujan luar biasa selama dua hari pada tahun lepas menyebabkan banjir besar di Selangor, mengakibatkan ribuan penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.