Air Selangor membuat hebahan menyeru penduduk negeri ini memohon Skim Air Darul Ehsan bagi mendapatkan air percuma. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Skim air percuma diperluas kepada seluruh rakyat pada masa depan

SHAH ALAM, 24 NOV: Skim Air Darul Ehsan bakal diperluas kepada seluruh rakyat apabila syarikat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berjaya menyumbang dividen, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemberian air percuma 20 meter padu sebulan secara menyeluruh itu juga dilakukan selepas syarikat berkenaan dapat melengkapkan transformasi sepenuhnya.

“Daripada pelan perniagaan Air Selangor, kita jangkakan skim ini boleh dilaksanakan sepenuhnya tapi bukan sekarang.

“Ketika ini (skim air percuma) Kerajaan Negeri menambah dana disamping lebihan dana Air Selangor walaupun syarikat bergerak dengan unjuran negatif kerana ini pelan perniagaan yang dipersetujui oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan Permodalan Aset Air Berhad,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Keempat Belas di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 24 November 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Menjawab soalan tambahan wakil rakyat Sijangkang Datuk Dr Yunus Hairi berhubung pelaksaan skim berkenaan di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini, Amirudin menjelaskan dua agensi terbabit turut memberi pinjaman bagi melaksanakan beberapa projek.

Jelasnya, projek terbabit antaranya membabitkan kerja naik taraf sistem pembentungan, saluran paip, dan pengurusan aset demi perkhidmatan yang baik.

Pada program ambang merdeka, Ahli Dewan Negeri Sungai Tua berkata kira-kira 100,000 lagi akaun pengguna bakal menikmati air percuma dengan kos lebih RM30 juta dibayar sepenuhnya Kerajaan Selangor.

Ia susulan had minimum pendapatan yang layak menerima manfaat insentif tersebut dinaikkan daripada RM4,000 kepada RM5,000.

Pendaftaran masih terbuka kepada penduduk Selangor sehingga 31 Disember 2024 dan syarat kelayakan meliputi pemohon mestilah warganegara Malaysia, premis kediaman jenis meter individu dan hanya untuk satu akaun sahaja.

 


Pengarang :