Istiadat Konvokesyen Universiti Selangor (Unisel) ke-16 di Dewan Canselor Unisel kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 3 Disember 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

1,319 graduan dirai pada Istiadat Konvokesyen Unisel Ke-16, dua terima Anugerah PM

KUALA SELANGOR, 3 DIS: Seramai 1,319 graduan Universiti Selangor (Unisel) dirai pada Istiadat Konvokesyen Ke-16 yang berlangsung selama dua hari sehingga esok.

Berlangsung di Dewan Canselor Kampus Bestari Jaya, graduan terbabit ialah 819 graduan peringkat ijazah sarjana muda, diploma (242), tahun asas (228), ijazah sarjana (18) dan kedoktoran (12).

Istiadat konvokesyen kali ketiga tahun ini melibatkan lebih 5,000 graduan yang disempurnakan Canselornya Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang merupakan Pengerusi Ali Lembaga Pengarah Unisel dan Naib Canselor Unisel Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Menerusi istiadat kali ini yang dibahagi kepada tiga sidang, buat julung kalinya Anugerah Khas Perdana Menteri diperkenalkan dan diberikan kepada dua graduan Muhammad Fairuz Abd Rauf jurusan Doktor Falsafah Komputeran serta M Sangheta daripada Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian).

Canselor Universiti Selangor (Unisel) Tan Sri Raja Arshad Tun Uda (kanan) menyerahkan cek cura bernilai RM5,000 kepada penerima Anugerah Khas Perdana Menteri Muhammad Fairuz Abd Rauf (tengah) sempena Istiadat Konvokesyen Unisel ke-16 di Dewan Canselor Unisel kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 3 Disember 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, Cindy Chan Sze Yee graduan jurusan ljazah Sarjana Muda Psikologi Industri (Kepujian) pula menerima Anugerah Canselor manakala Anugerah Pengerusi diberikan kepada C Devan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Kepujian).

Anugerah Canselor 2022 Cindy Chan Sze Yee

Dalam pada itu, Anugerah Naib Canselor diberikan kepada Nur Anis Masturah Mohamad Fauzai graduan ljazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian) dan Farah Wahidah Roslan jurusan Diploma Fisioterapi yang menerima Anugerah EXCO Pendidikan.

Barisan penerima Anugerah Khas Istiadat Konvokesyen Universiti Selangor (Unisel) ke-16. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Selain itu, pada istiadat kali ini juga 32 graduan menerima Anugerah Pelajar Terbaik Program dan lima lagi graduan merangkul Anugerah Pelajar Terbaik Fakulti.


Pengarang :