KUALA LUMPUR, 9 DIS: Kira-kira 700 penonton memberi tepukan gemuruh selepas menyaksikan teater Antara Tiga yang mengisahkan sejarah Klang sebagai antara kawasan pemula pentadbiran Selangor di Istana Budaya malam tadi.
Pementasan hari pertama berkenaan menarik perhatian hadirin yang disajikan jalan cerita unik berkaitan tiga sejarah utama daerah itu dari tahun 1025 hingga 1961.
Isteri Dato’ Menteri Besar Datin Seri Masdiana Muhamad, EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah dan beberapa Ahli Dewan Negeri antara yang hadir menyaksikannya.
Teater lebih dua jam dijayakan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) diarahkan Muhammad Firdaus Abdul Rahim manakala skripnya ditulis oleh Dr Ahmad Zairy Mohd Soieb.
Menariknya teater dipentaskan sehingga Sabtu itu dibintangi penjawat awam termasuk tenaga produksi dari PADAT, Antara Seni Perkhidmatan Awam dan Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik.
Ditemui selepas pementasan itu, Borhan berpuas hati dengan lakonan ditampilkan penghibur terbabit dan berharap penonton dapat mengambil iktibar mesej teater berkenaan.
“Dalam penerbitan teater ini kita ingin mengetengahkan sejarah Klang, ada golongan dan kumpulan telah membangunkannya.
“Saya harap dengan adanya cerita seperti ini dapat menaikkan semangat dan minat anak muda untuk mengetahui sejarah Selangor,” katanya.
Individu berminat boleh mendapatkan tiket berharga RM20 menerusi pautan www.ticket2u.com.my