PETALING JAYA, 11 DIS: Seramai 120 peserta dari enam negara menyertai Kejohanan Antarabangsa Bot Kawalan Jauh Petaling Jaya 2022 yang diadakan selama tiga hari sejak 9 Disember lalu.
Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir berkata antara negara terlibat adalah Malaysia, Brunei, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand dan Indonesia.
“Ini merupakan kejohanan kali ke-10 kita anjurkan sejak diperkenalkan pada 2009 dan tahun ini sebanyak 450 bot dengan penglibatan 120 peserta dalam dan luar negara.
“Tahun ini kita menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM27,500 dan insya-Allah kita bercadang untuk anjurkan lagi pada tahun depan dengan sasaran lebih banyak negara sertai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas acara melepaskan peserta pada Kejohanan Antarabangsa Bot Kawalan Jauh Petaling Jaya 2022 di Tasik Bandaran Kelana Jaya di sini hari ini.
Azhan berkata Tasik Bandaran itu juga merupakan satu-satunya gelanggang terbesar yang menjadi pilihan peserta selama 10 tahun kejohanan bot kawalan itu berlangsung.
“Penganjuran program ini dapat mempromosi Petaling Jaya sekali gus menarik lebih ramai pelancong ke sini dan Selangor terutamanya,” katanya.