AGENDANASIONAL

Mahasiswa bidang perundangan syariah perlu mahir bahasa Arab

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

HULU LANGAT, 3 DIS: Mahasiswa bidang perundangan syariah perlu mahirkan diri dengan bahasa Arab, kata Ketua Hakim Syarie Selangor.

Datuk Mohammad Adib Husain berkata dunia hari ini menyaksikan teknologi semakin maju dan semakin banyak perkara baru timbul melibatkan permasalahan hukum yang tidak pernah timbul ketika zaman ulama silam.

“Justeru dalam menangani permasalahan hukum ini, mahasiswa perlu memantapkan diri dengan penggunaan bahasa Arab dan kitab-kitab turath.

“Sesungguhnya bahasa itu adalah kunci kepada ilmu dan asas kepada perundangan syariah adalah al-Quran dan As-Sunnah seterusnya diperluaskan dengan penulisan ulama terdahulu dalam kitab-kitab muktabar,” katanya hari ini.

Beliau berucap pada majlis perasmian Kolokium Prospek Kerjaya Dalam Bidang Perundangan dan Kehakiman Syariah bersama Pelajar Institut Pengajian Tinggi di Selangor 2022 di sini yang disempurnakan EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Mohammad Adib berkata ketandusan mahasiswa syariah dan undang-undang yang mahir memahami bahasa Arab dan mendalami kitab turath akan merencatkan perkembangan hukum seterusnya menjadikan perundangan syariah kekal berada di takuk lama dan bersifat tidak kompetetif dengan perkembangan zaman.


Pengarang :