KOTA BHARU, 27 DIS: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan sumbangan banjir bernilai RM500,000 kepada kerajaan Kelantan hari ini.
Cek cura bantuan #KitaSelangor diserahkan kepada Menteri Besar Kelantan sebagai simbolik memandangkan ia sudah disalur ke akaun kerajaan Kelantan baru-baru ini.
Serahan dibuat dalam kunjungan hormat beliau di kediaman rasmi Datuk Ahmad Yakob di Kampung Sirih, diiringi Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
“Alhamdulillah, hari ini saya dapat menyampaikan sendiri sumbangan kepada Menteri Besar Kelantan (dalam bentuk cek cura) sebagaimana yang telah dimaklumkan sebelum ini.
“Diharap bantuan tersebut dapat membantu pihak berkenaan mengurus mangsa yang terjejas akibat bencana,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2022/12/P_MBKunjunganHormatKelantan8-500x333.jpg)
Amirudin juga percaya kerajaan Kelantan mempunyai perancangan tersendiri untuk menggunakan peruntukan tersebut bagi membantu mangsa bencana.
“Mereka ada pelbagai fokus, sudah pasti bab infrastruktur, bantuan dan sebagainya. Jadi terpulang kepada mereka untuk menetapkan keutamaan,” katanya.
Pada 20 Disember lalu, Amirudin memaklumkan Kerajaan Selangor menghulurkan sumbangan RM1 juta kepada Kelantan dan Terengganu bagi membantu menguruskan banjir di negeri terbabit.
Bantuan itu sebagai tanda simpati dengan nasib menimpa rakyat di dua negeri berkenaan.