Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR
KAJANG, 29 DIS: Pembinaan Tokong Shun Nam Gong di sini mematuhi syarat pelan asal seperti diluluskan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).
Ahli Majlis MPKj Zon 15 Ong Seng Peng berkata MPKj berpuas hati dengan projek pembinaan tokong berkenaan namun sistem saliran dan perparitan perlu ditambah baik.
“Hasil lawatan bersama pihak pengurusan tokong dan wakil Jabatan Kejuruteraan MPKj hari ini, setakat ini MPKj puas hati dengan apa yang pihak tokong buat, ikut kelulusan seperti yang diluluskan cuma ada sedikit yang perlu pembetulan iaitu perparitan.
“Kita minta pihak tokong untuk buat pembetulan semula supaya semuanya ikut pelan asal seperti kelulusan daripada pihak majlis,” katanya hari ini
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2022/12/Tokong3-500x332.jpg)
Terdahulu beliau bersama Jabatan Kejuruteraan MPKj melawat tapak pembinaan Tokong Shun Nam Gong susulan aduan penduduk yang mendakwa pembinaan tokong berkenaan tidak mengikut spesifikasi.
Beliau berkata pihaknya akan memastikan pengurusan tokong mematuhi pelan asal yang ditetapkan supaya kebimbangan penduduk mengenai risiko banjir semakin teruk susulan pembinaan itu tidak berlaku.
“Semasa kelulusan projek diberikan pelbagai agensi terlibat. Kawasan ini memang kawasan banjir dan tidak terancang tetapi tokong ini dibina ikut perancangan dan mendapat kelulusan.
“Jadi kita pastikan ia ikut apa yang diluluskan majlis seperti pelan longkang mengikut pelan asal,” katanya.