SHAH ALAM, 1 JAN: Hampir 400 individu menyertai perarakan di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar, di sini sempena sambutan tahun baharu hari ini.
Perarakan sejauh kira-kira 500 meter itu juga sebagai kemuncak majlis Maulid Akbar anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis).
Yang dipertuanya Datin Seri Masdiana Mohamad berkata peserta bergerak dari Dewan Megawati menuju Dewan Astaka sambil berselawat dan diiringi paluan kompang.
“Selain perarakan, majlis hari ini juga diisi dengan program keagamaan lain antaranya bacaan zikir, qasidah dan tausiyah.
“Tetamu bukan sahaja terdiri dari ahli Pekawanis tetapi turut disertai penduduk berhampiran. Tengku Putri Datin Paduka Hajjah Arafiah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz turut berkenan ke majlis ini,” katanya.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan acara sambutan tahun baharu dibatalkan demi menghormati mangsa dan keluarga yang terkesan musibah banjir dan tanah runtuh.
Tahun lalu, Kerajaan Negeri juga tidak menganjurkan sambutan tahun baharu susulan banjir besar yang melanda negeri ini pada Disember 2021 dan diganti dengan majlis tahlil, doa selamat dan zikir munajat.