Yang Dipertua Sepang Dato’ Abd Hamid Hussain (kiri) dan Timbalan Yang Dipertua Sepang Muhamad Shah Osmin pada sidang media di Bilik Semarak Majlis Perbandaran Sepang pada 3 Januari 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Bazar Ramadan: MPSepang buka permohonan dalam talian mulai 16 Januari

SEPANG,4 JAN: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) membuka permohonan permit bazar Ramadan secara dalam talian mulai 16 Januari hingga 17 Februari depan.

Yang Dipertua Dato’ Abd Hamid Hussain berkata peniaga boleh memohon menerusi ebazar.mpsepang.gov.my yang menyediakan sebanyak 550 petak bazar di 11 lokasi.

“Lokasi tapak bazar Ramadan ialah di Putra Perdana, Cyberjaya, Dengkil, Dengkil Jaya, Taman Mas, Sg Merab, Kota Warisan, Kosmopleks, Salak, Sg Pelek dan Desa Pinggiran Putra.

“Pada tahun ini kita tawarkan petak dengan kadar sewaan masih sama seperti sebelum ini iaitu RM120 hingga RM180 bagi tempoh 30 hari tidak termasuk caj topi dan apron.

“Berbanding tahun lalu, lokasi bazar sama dan jumlah tapak sebanyak 500 tapak. Prosedur operasi bazar masih sama cuma tunggu mungkin ada pengumuman Kerajaan Negeri  atau Kementerian Kesihatan,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Pengakuan Menerima Jawatan (Angkat Sumpah) sebagai ahli majlis MPSepang melibatkan seramai 23 individu bagi penggal 2023.

Turut mengangkat sumpah Setiausaha Bahagian (Khidmat Pengurusan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Muhamad Shah Osmin yang dilantik sebagai timbalan yang dipertua baharu.


Pengarang :