Oleh DIANA ABD WAHAB
SHAH ALAM, 12 JAN: Dua premis makanan diarah tutup selepas didapati gagal mematuhi peraturan kebersihan ditetapkan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).
Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memaklumkan sebanyak empat kompaun dan lapan notis turut dikeluarkan sempena Operasi Suci di Dataran Sentosa Bukit Sentosa kelmarin.
“Operasi ini bagi memastikan peniaga di premis sewaan MPHS mematuhi syarat dan kebersihan yang ditetapkan. Sebanyak lapan premis diperiksa dan dua premis diambil tindakan penutupan.
“Keadaan premis uzur dan pengubahsuaian telah berlaku di premis. Status premis adalah gerai tetapi berubah kepada struktur bangunan premis,” katanya di Facebook.
Operasi yang disertai Unit Kawalan dan Penggredan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Jabatan Pelesenan serta Jabatan Bangunan turut mendapati seorang peniaga menjalankan perniagaan tanpa lesen.