SHAH ALAM, 10 JAN: Sebanyak 183 karya tempatan dipapar di Pameran Terbuka Galeri Shah Alam 2022 (PTGSA22).
Penolong kurator Galeri Shah Alam berkata karya seni visual bertemakan ‘Bebas’ memberi ruang kepada artis untuk meluahkan ekspresi dengan lebih kreatif.
“PTGSA adalah acara tahunan Galeri Shah Alam sejak 1991, yang dijadikan sebagai wadah kepada artis untuk mempamerkan karya, idea, dan bakat masing-masing,” kata Nur Syafiqah Zainal di majlis perasmian pameran berkenaan di Galeri Shah Alam, hari ini.
Menyifatkan 2023 sebagai tahun kebangkitan pengkarya, beliau berkata pihaknya menerima 200 penyertaan iaitu 70 peratus lebih tinggi berbanding dua tahun lalu.
“Pada tahun ini kita terima penyertaan yang amat memberangsangkan. Ini adalah penyertaan tertinggi selepas pandemik Covid-19,” katanya
Menurut Nur Syafiqah, setiap seni akan dinilai dan lima pengkarya terbaik memenangi Anugerah Insentif Pameran Terbuka Shah Alam serta wang tunai RM2,500.
Pameran tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai program menarik dan terbuka kepada orang awam sehingga 31 Januari ini.