Oleh AZIAN AZIZ
AMPANG JAYA, 31 JAN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan menganjurkan Sambutan Hari Alam Sekitar 2023 di Auditorium Aras 5, Menara MPAJ Jumaat ini.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Sekretariatnya berkata program itu bagi mempromosi pendidikan dan kesedaran melestarikan alam sekitar dalam kalangan komuniti dan pelajar.
“Majlis turut mengiktiraf komuniti serta sekolah-sekolah di kawasan MPAJ yang memberi sumbangan signifikan kepada pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dengan menjayakan kempen anjuran MPAJ.
“Antaranya pengumpulan minyak masak terpakai dan barang elektrik atau elektronik terpakai,” kata Norhayati Ahmad.
Menurut beliau, pelbagai pameran oleh agensi luar seperti Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat dan Jabatan Alam Sekitar turut diadakan.
“Program bermula pukul 8 malam dan orang ramai dijemput hadir memeriahkan sambutan ini,” katanya.