OLEH AZIAN AZIZ
PETALING JAYA, 11 JAN: Sumbangan RM250 yang dihulurkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kepada 60 keluarga sempena Tahun Baharu Cina kali ini menambah kemeriahan sambutan perayaan itu.
Ting Fong Yee, 38, dari Lembah Subang berkata sumbangan itu akan digunakan untuk membeli makanan dan snek sebagai hidangan untuk memeriahkan sambutan tahun baharu kali ini.
“Saya cacat penglihatan akibat Glaucoma sejak 17 tahun lalu dan mencari rezeki sebagai tukang urut dengan pendapatan antara RM900 hingga RM1,200 sebulan untuk menanggung diri sendiri dan ibu yang telah tua.
“Jadi sumbangan ini amat bermakna kerana dapatlah kami beli makanan lebih untuk saya dan ibu kerana setiap tahun kami hanya sambut perayaan berdua memandangkan saya tidak dapat melihat dan ibu pula tak larat layan tetamu,” katanya yang gembira kerana pertama kali menerima sumbangan seperti ini.
Fong Yee yang lahir di Sabah dan sudah 10 tahun menetap di Selangor ditemui selepas menerima sumbangan tersebut di Dewan MBPJ SS3/14, Taman Sentosa di sini.
Seorang lagi penerima, Lou Meng Hung, 45, dari Seksyen 14 di sini yang menggunakan kerusi roda untuk bergerak pula akan membeli sehelai baju dan sepasang kasut baru menggunakan wang sumbangan tersebut.
“Saya mula menggunakan kerusi roda sejak enam tahun lalu kerana tidak mampu berjalan akibat penyakit sendi sejak lahir dan cari rezeki dengan busking.
“Pendapatan saya tidak tetap, jadi bila dapat sumbangan ini dapatlah duit tambahan untuk beli baju dan kasut baru kali ini. Meriah sikit raya,” katanya yang sudah dua kali menerima sumbangan seperti ini.
Bagi Cheng Lai Heng, 80, dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara, sumbangan yang diterima sejak enam tahun lalu menandakan dirinya masih diingati dan dihargai sebagai rakyat.
“Saya sebatang kara, sudah berpisah dengan suami dan tiada anak. Hidup pun dengan wang bantuan RM350 daripada Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM).
“Bila ada yang bagi bantuan, saya gembira kerana ada yang ingat saya,’’ kata warga emas itu yang masih mampu mengurus diri sendiri.