EXCO Pembangunan Luar Bandar Borhan Aman Shah (dua, kiri) menerima cek cura bantuan alat tulis berjumlah RM15,000 daripada Pegawai Penyelaras DUN Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad (kiri) ketika Jelajah Kita Selangor Penyayang di Oasis Batang Kali, Hulu Selangor pada 19 Februari 2023. Foto Saifuddin Shafi Muhammad
ADNBERITA UTAMASELANGOR

1,892 calon SPM sekitar Hulu Selangor terima bantuan alat tulis

SHAH ALAM, 20 FEB: Seramai 1,892 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 dari sembilan sekolah sekitar Hulu Selangor menerima sumbangan alat tulis semalam.

Sumbangan inisiatif Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Hulu Selangor, pusat khidmat masyarakat penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI diserahkan sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang di Oasis Batang Kali.

Pegawai Penyelaras DUN Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad berkata perkakas itu diberikan sebagai tanda sokongan kepada pelajar yang menduduki peperiksaan tersebut bermula hari ini.

“Program ini juga salah satu langkah kecil yang dapat meringankan beban sekolah dan ibu bapa dalam persediaan peperiksaan.

“Tahniah kepada semua wakil-wakil sekolah yang hadir bagi sesi penerimaan alat tulis pada hari ini (semalam),” katanya dalam kenyataan.

Sekolah terlibat antaranya Sekolah Menengah (SM) Sains Hulu Selangor, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Bunga Raya 1, SMK Bukit Sentosa 2 dan SMK Bukit Sentosa.

Agihan kepada pelajar turut melibatkan SMK Syed Mashor, SMK Bandar Baru Batang Kali, SMK Gedangsa, Sekolah Menengah Agama (SMA) Selisik dan SMK Sungai Choh.


Pengarang :