Poster pencarian usahawan untuk program SAY ASPIRE edisi keempat yang dijangka bermula pada Mac depan. Foto Facebook Selangor Youth Community – SAY Community
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

31 syarikat pelbagai sektor mohon sertai program pembangunan usahawan

SHAH ALAM, 21 FEB: Permohonan program Selangor Youth Community (SAY) ASPIRE edisi keempat dilanjutkan sehingga 28 Februari ini bagi memberi peluang lebih banyak syarikat menyertainya.

Pengurusnya Abdullah Muaz Mohd Norman berkata setakat ini sebanyak 31 syarikat daripada pelbagai sektor telah menghantar penyertaan sejak permohonan dibuka Januari lalu.

Menurut beliau, buat masa ini, 24 syarikat telah dipanggil untuk sesi temu duga hingga Khamis lalu dan 60 peratus daripadanya daripada sektor makanan dan minuman (F&B).

“Objektif temu duga diadakan bagi memastikan setiap syarikat layak dan mempunyai produk yang ingin dieksport selain bantuan diperlukan daripada Kerajaan Negeri.

“Kita sasar 30 syarikat dipilih sertai program dan penyertaan permohonan dilanjut bagi menbolehkan lebih banyak peserta dapat manfaat,” katanya kepada SelangorKini.

Syarikat yang berminat boleh melayari laman web www.entrepreneurshipselangor.com.my/sayaspire untuk permohonan.

Program pembangunan usahawan itu merupakan kerjasama di antara EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail bertujuan membantu belia mengembangkan produk dan perkhidmatan ke pasaran global.

Program yang dianjurkan sejak 2018 menerusi agensi SAY diasaskan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah merangkumi latihan kewangan, strategi pemasaran serta perancangan strategik untuk menembusi pasaran luar negara.

Pada edisi ketiga tahun lalu, tiga syarikat dipilih sebagai pemenang iaitu Airaz Technologies Sdn Bhd (produk pakaian sukan muslim), Avantcom International Sdn Bhd (produk penjagaan kulit bayi) dan Inonity Sdn Bhd (perkhidmatan laman web e-dagang-StoreUp).


Pengarang :