Peserta disiram menggunakan air daripada jentera bomba pada program berkhatan anjuran bersama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Serumpun Kuala Lumpur & Selangor (Pekemas). Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

52 kanak-kanak dirai dalam program berkhatan anjuran MPAJ, Pekemas

OLEH SHAMZ JOHAN

AMPANG JAYA, 19 FEB: Seramai 52 kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun dirai dalam program berkhatan anjuran bersama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Serumpun Kuala Lumpur & Selangor (Pekemas).

Setiausaha MPAJ berkata sambutan diterima amat menggalakkan dan melebihi sasaran penyertaan.

“Kita hadkan untuk 50 penyertaan sahaja, tapi hari ini, sambutan amat menggalakkan dan kita dapat (penyertaan) lebih 50 orang.

“Program julung kali ini turut mendapat kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta,” kata Julaiha Jamaludin.

Peserta menerima sijil penyertaan program berkhatan anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bersama Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Serumpun Kuala Lumpur & Selangor (Pekemas) Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI

Pada program di Surau Al-Falah, Pandan Jaya itu, peserta dibawa berarak dengan paluan kompang dan bunga manggar sebelum gimik acara bersiram beramai-ramai dengan jentera bomba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Pandan Indah.

Menurutnya Julaiha, kumpulan sasar program ini adalah golongan B40 dan hanya yuran minimum dikenakan.

“Kumpulan sasar adalah golongan B40 sekitar Pandan Jaya, dan hanya yuran RM 30 dikenakan. Peserta juga menerima sijil penyertaan, beg cenderahati, set biskut dan coklat serta kain pelikat,” katanya lagi.

Proses khatan menggunakan kaedah ‘clamp’ yang dikendalikan oleh Dr. Masri Mohd Zin dan petugas dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan.

Program tersebut turut mendapat kerjasama Pejabat Parlimen Pandan, Pejabat Khidmat Masyarakat DUN Pandan Indah, Ahli Majlis Zon 16, K. Thanabalan, Hospital Pantai Ampang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pandan Indah, Ahli Jawatankuasa Surau Al-Falah, KLCOD Marketing, Meeka Intil Sdn Bhd dan Kuala Lumpur City College.


Pengarang :