Pelbagai barangan asas dijual pada harga murah ketika program jelajah Jualan Ehsan Rakyat di Pusat Khidmat Dun Kinrara, Bandar Puchong Jaya, Puchong pada 23 Februari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

DUN Kinrara tempatkan sukarelawan bantu pengunjung di program jualan murah

PUCHONG, 23 FEB: Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) menyediakan 10 sukarelawan bagi membantu kelancaran program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) hari ini.

Penyelianya Rachel Lee Pooi Won berkata sukarelawan terbabit ditugaskan untuk membantu mengangkat barangan pengunjung tanpa mengira usia ke kenderaan mereka.

“Selain orang muda, golongan warga emas juga tidak terkecuali hadir untuk mendapatkan barangan keperluan harian. Sukarelawan ini bertindak membantu penduduk khususnya warga emas yang kurang berkemampuan membawa barangan di beli ke kenderaan.

“Bukan itu sahaja, mereka juga turut membantu membungkus barangan dan menjaga lalu lintas bagi memastikan program jualan berjalan lancar,” katanya ketika ditemui pada program tersebut.

Dalam pada itu, Rachel memaklumkan program jualan murah itu dapat sambutan menggalakkan dan orang ramai sanggup beratur awal.

“Penduduk datang seawal jam 8.30 pagi untuk menunggu giliran membeli keperluan dapur pada harga murah dan mereka semua memang ternanti-nanti jualan ini.

“Hari ini merupakan program jualan murah yang pertama pada 2023 bagi kawasan DUN Kinrara kerana sebelum ini kita beri laluan untuk sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya.

Jualan barangan murah bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 15 Januari hingga menjelang Mei.

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :