Oleh AZIAN AZIZ
SHAH ALAM, 6 FEB: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) melakukan pemantauan selama enam bulan bagi memastikan pengendali makanan mematuhi arahan pemakaian pelitup muka.
Yang Dipertua Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata pemantauan bermula sejak arahan tersebut dikuat kuasa pada 1 Januari lalu.
“Setakat ini kita dapati memang mereka pakai pelitup muka terutama di restoran-restoran.
“Kita akan teruskan pemantauan bagi memastikan arahan tersebut dipatuhi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau menjelaskan MPAJ akan mengenakan tindakan terhadap penjaja dan pengusaha restoran selepas tempoh pemantauan berakhir.
“Kita tengok hasilnya macam mana selepas enam bulan ini sebelum ambil tindakan,” ujarnya.
Dato’ Menteri Besar sebelum ini mengumumkan penggunaan pelitup muka diwajibkan kepada penjaja dan pengusaha restoran di Selangor.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, pendekatan itu dapat menambah keyakinan pelanggan selain mengelakkan penularan Covid-19 dan isu keracunan makanan.