Bangunan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang. Foto Arkib Selangorkini
AGENDANASIONAL

Kerajaan tubuh pasukan petugas khas tangani kesesakan di fasiliti kesihatan

OLEH FUAD HADINATA YAACOB

SHAH ALAM, 28 FEB: Kerajaan menubuhkan Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) untuk menerajui inisiatif mengurangkan kesesakan di fasiliti dan hospital kerajaan, kata timbalan perdana menteri.

Datuk Seri Fadillah Yusof berkata STAR yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Tan Sri Mohd Zuki Ali akan mengambil langkah perlu berhubung isu berkenaan.

“Pelbagai usaha dilakukan kerajaan untuk mengurangkan kesesakan ini tetapi ia menjadi tumpuan kerana sistem dan perkhidmatan kesihatan kita bertambah baik dan rakyat yakin dengan hospital kita.

“Selain itu caj dikenakan hampir percuma, kerajaan juga sudah tambah bilangan doktor dan jururawat selain hospital baharu dibina, hospital lama dinaik taraf, klinik kesihatan, klinik desa sudah bertambah banyak tetapi kesesakan masih berlaku,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) yang meminta perdana menteri menyatakan langkah kerajaan menangani kesesakan hospital kerajaan ketika ini.

Setakat 2022, jumlah hospital di negara ini adalah 355 semuanya membabitkan 209 hospital swasta, 146 hospital kerajaan manakala jumlah klinik 11,577 buah iaitu 8,419 klinik kesihatan swasta dan 3,158 klinik kesihatan kerajaan.

Sementara itu Fadillah berkata antara cadangan penambahbaikan pasukan itu untuk mengurangkan waktu menunggu pesakit di hospital kerajaan adalah melanjutkan waktu operasi klinik kesihatan dari 8 malam hingga 12 tengah malam.

Selain itu katanya kerjasama antara awam dan swasta perlu dilakukan termasuk perkongsian peralatan perubatan di antara hospital kerajaan dan swasta.

Dalam pada itu Fadillah turut menyarankan rakyat meningkatkan langkah pencegahan kesihatan diri melalui amalan hidup sihat seterusnya mengelak daripada penyakit kritikal.

“Kementerian Kesihatan memberi penekanan mempromosikan budaya hidup sihat, ini penting sebagai langkah pencegahan yang patut kita fokuskan.

“Peranan ahli parlimen juga penting untuk kita jalankan program bersama dengan KKM supaya memberi kesedaran mengamalkan budaya hidup sihat dalam kalangan rakyat,” katanya.

 


Pengarang :