Seorang lelaki mencari barang miliknya selepas kediamannya musnah dalam gempa bumi yang melanda Adiyaman, Turkiye pada 16 Februari 2023. Foto REUTERS/Thaier Al-Sudani
AGENDAGLOBAL

Mangsa korban gempa bumi di Turkiye, Syria meningkat lebih 41,000 orang

ISTANBUL, 17 FEB: Kematian akibat gempa bumi di Turkiye dan Syria sudah melebihi 41,000 mangsa hari ini, ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merayu bantuan AS$1 bilion (RM4.4 bilion) untuk menangani krisis kemanusiaan yang semakin meningkat.

Pegawai perubatan berkata, seramai 38,044 orang meninggal dunia di Turki dan 3,688 lagi di Syria susulan gegaran 6 Februari lalu, menjadikan jumlah yang disahkan maut meningkat kepada 41,732 orang.

Gempa itu berlaku di salah satu zon gempa bumi paling aktif di dunia dan melanda kawasan berpenduduk padat, dengan ramai daripada mereka tidur di rumah yang tidak dibina untuk menahan gegaran tanah sebegitu kuat, lapor Berita Harian.

Sebelas hari selepas gempa bumi, penyelamat Turkiye berjaya mengeluarkan seorang gadis berusia 17 tahun dan seorang wanita berusia 20an dari runtuhan.

“Mangsa dalam keadaan sihat. Dia membuka dan menutup matanya,” kata pelombong arang batu, Ali Akdogan, yang mengambil bahagian untuk menyelamatkan Aleyna Olmez di Kahramanmaras, sebuah bandar berhampiran pusat gempa.

Namun, di sebalik kisah ajaib penyelamatan, terdapat banyak cerita mengenai harapan yang musnah untuk menyelamatkan orang tersayang yang mati perlahan-lahan dalam runtuhan kerana bantuan lambat sampai.

Hasan Irmak melihat lima ahli keluarga – termasuk anak perempuannya Belinda yang berusia enam tahun, tertanam di bawah rumahnya yang runtuh di bandar sempadan Syria, Samandag.

Mangsa gempa bumi beratur untuk mendapatkan makanan di Kahramanmaras, Turkiye pada 16 Februari 2023. Foto REUTERS/Eloisa Lopez

“Dia masih hidup selama dua hari. Saya bercakap dengannya dalam runtuhan. Kemudian dia kehilangan semua tenaganya. Pada hari ketiga, dia mati. Bantuan tiba pada hari keempat,” kata lelaki berusia 57 tahun itu mengenai anak perempuannya.

Ketika ini, harapan untuk mencari mangsa yang terselamat semakin pudar.

Turkiye kini sudah menggantung operasi menyelamat di beberapa wilayah dan kerajaan di Syria yang dilanda perang juga turut melakukan perkara yang sama di kawasan di bawah kawalannya.

Ramai di zon terjejas menghadapi saat terdesak akibat cuaca sejuk bawah paras beku, tanpa makanan, air dan tandas – yang seterusnya mungkin mengakibatkan penyebaran wabak penyakit. – AFP


Pengarang :