Pengusaha barang lusuh Nor Zihan Aminah Ahmad menunjukkan kerja harian beliau di Kampung Olak Lempit, Banting pada 20 Januari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Besi lusuh lubuk rezeki, bekas asnaf gigih sara keluarga

SHAH ALAM, 17 FEB: Dua kali suami terlibat dalam nahas pada 2011 diikuti kemalangan lapan tahun kemudian menjadikan Nor Zihan Aminah Ahmad ligat mencari rezeki.

Ibu tiga anak berusia 34 tahun itu menyara keluarga dengan menjual air, pisang goreng dan sosej berhampiran sekolah. Namun, hasil pendapatan tidak seberapa.

Sewa RM500 sebulan kerap tertangguh hingga diarah mengosongkan rumah apabila tunggakan mencecah RM2,000 pada 2016. Mujur Lembaga Zakat Selangor (LZS) membantu melunaskannya. Tiga tahun kemudian, LZS juga memberi bantuan kenderaan pacuan empat roda untuk membantu perniagaan barang lusuh yang diusahakan Nor Zihan Aminah.

Bertahun-tahun bekerja keras hingga memperoleh pendapatan RM8,000 sebulan, penat lelahnya berbaloi apabila beliau menerima Anugerah Ketua Pegawai Eksekutif LZS kategori usahawan berjaya pada 2022.

Segala bermula apabila suaminya parah akibat keretanya terbakar pada 2011. Sebahagian tubuh dan muka Zulkifli Shafie, 34, melecur teruk. Tangannya pula lumpuh. Dua bulan terlantar di hospital.

Justeru, Nor Zihan Aminah tidak duduk diam. Beliau berniaga untuk menampung keluarga. Namun, tidak cukup dan hampir dihalau dari rumah sewa.

Pengusaha barang lusuh Nor Zihan Aminah Ahmad menunjukkan anugerah Ikon Usahawan Asnaf Lembaga Zakat Selangor dan anugerah Teras ketika di temu bual SelangorKini di Kampung Olak Lempit, Banting pada 20 Januari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Dari resah bertukar anugerah, bantuan LZS yang awalnya untuk melangsai tunggakan itu membawa kepada tawaran bantuan perniagaan melalui program Teraju Ekonomi Asnaf (Teras).

“Pegawai zakat tanya hendak berniaga apa? Suami cakap dia masih boleh cari ikan walau hanya sebelah tangan berfungsi. LZS hulur bantuan jaring ikan,” kata Nor Zihan Aminah ketika ditemui Selangorkini di rumah mereka di Kampung Olak Lempit, Kuala Langat pada 20 Januari.

Tiada pilihan

Zulkifli meneruskan kegiatan menangkap ikan manakala Nor Zihan Aminah memandu van uzur untuk menjaja hasil tangkapan dari rumah ke rumah selain berjinak-jinak berniaga besi lusuh.

Pada 2019, sekali lagi Zulkifli terlibat dalam nahas. Kali ini, tulang bahagian lutut dan tengkuk pula patah. Beliau tidak lagi boleh menangkap ikan.

Nor Zihan Aminah tiada pilihan, terpaksa memikul tanggungjawab menyara keluarga sepenuhnya. Beliau menggandakan usaha dengan meneruskan perniagaan besi lusuh.

“Mula-mula saya ambil besi buruk dengan jiran sahaja tetapi bila suami tidak boleh kerja saya fokus betul-betul dengan iklankan di Facebook. Tak sangka, rupanya dapat sambutan.

Pengusaha barang lusuh Nor Zihan Aminah Ahmad mengasingkan komponen barang yang masih boleh dipakai di Kampung Olak Lempit, Banting pada 20 Januari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Bila banyak permintaan, saya minta bantuan lori daripada Teras tetapi saya tiada lesen bawa barang (GDL). Teras kemudian beri kenderaan pacuan empat roda pada September 2019 untuk angkut mesin basuh dan peti ais rosak yang orang mahu jual,” katanya.

Selepas tiga bulan, perniagaan Nor Zihan Aminah kian berkembang. Beliau mampu membeli lori kecil terpakai pada harga RM11,000. Betapa tidak, perniagaannya dapat permintaan tinggi daripada kilang, bengkel kenderaan dan kolej bagi melupuskan sisa besi lusuh dan alat ganti yang tidak boleh digunakan lagi.

Menyedari mereka memiliki kemampuan untuk berdiri di kaki sendiri meski jauh dari kemewahan, Nor Zihan Aminah pada 2020 menulis kepada LZS untuk memohon keluar daripada kelompok asnaf.

“Sebenarnya, masa mohon keluar asnaf, saya bukan ada duit pun. Cuma tinggal seratus sahaja dalam akaun buat modal pusingan tetapi sebab sudah boleh beli lori, rumah pun bayar sendiri, buat apa ambil zakat lagi,” katanya.

Sejak itu, rezekinya kian murah. Perniagaan makin maju. Semakin banyak kolej dan kilang menjual besi buruk. Nor Zihan Aminah juga menyewakan lori untuk pindah rumah atau mengangkut sisa bahan binaan. Selepas tolak gaji dua pekerja dan modal pusingan, beliau meraih pendapatan bersih kira-kira RM4,000 sebulan.

Pengusaha barang lusuh Nor Zihan Aminah Ahmad menunjukkan kerja harian beliau di Kampung Olak Lempit, Banting pada 20 Januari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Zulkifli pula, walau tidak lagi boleh bekerja seperti dahulu, mengusahakan ternakan kolam kanvas ikan tilapia merah kecil-kecilan di perkarangan rumah dengan bantuan anak-anak. Kesungguhan mereka melipat ganda usaha, berjaya melonjak pendapatan hingga mencecah RM8,000 hingga RM9,000 sebulan. Menjelang akhir 2020, mereka mampu membeli tapak berharga RM66,000 daripada pemaju perumahan.

“Rupa-rupanya, apabila keluar asnaf, hidup kita jadi lagi senang. Sampai boleh bayar pendahuluan RM22,000 untuk beli tapak rumah dan bakinya ansuran RM4,000 sebulan. Alhamdulillah, habis bayar,” katanya.

Pada masa ini, pasangan suami isteri yang cekal mendepani pancaroba gigih mengumpul wang menerusi perniagaan mereka bagi membiayai kos membina rumah mereka.

 


Pengarang :