Foto Twitter Amirudin Shari
AGENDANASIONAL

MB rakam takziah pemergian mantan rektor UIAM

SHAH ALAM, 23 FEB: Dato’ Menteri Besar merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan sahabat mantan rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang meninggal dunia hari ini.

“Innalillahi wainna ilaihirojiun. Takziah diucapkan kepada keluarga dan sahabat Prof Ulung Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan. Al-Fatihah,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter.

Mohd Kamal, 80, dilapor meninggal dunia akibat kompilasi berkait rapat dengan tatacara pembedahan.

Dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan, Allahyarham memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dari Universiti Malaya pada 1965 sebelum meneruskan pengajian di peringkat Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah di Columbia University, New York pada 1975.

Mohd Kamal diamanahkan sebagai rektor UIAM pada 1999 hingga 2006 selain berperanan sebagai pengerusi Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (Lepai), sebuah lembaga ditubuhkan dengan perkenan Majlis Raja-Raja.

Beliau juga dinobat sebagai profesor ulung atas sumbangan bakti beliau dalam dunia akademik.


Pengarang :