BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Harum Malam sekadar seram Islami, watak dan skrip canggung

OLEH DANIYAL KADIR

Sebelum menjejakkan kaki ke dalam panggung, saya meletakkan sedikit harapan yang tinggi terhadap filem terbaharu arahan pengarah hebat, Dain Said.

Terdapat dua keadaan yang membuatkan saya berani berfikir tentang harapan itu. Pertama kerana filem arahan Dain yang menjadi kegemaran saya ialah Dukun, sebuah filem yang mungkin mempunyai corak hampir sama dengan Harum Malam.

Kedua kerana Dain ialah orang yang memberi saya kepercayaan bahawa sinema Malaysia sedang dihidupkan semula melalui imej kelir koyak di babak pembukaan filem Bunohan.

Harum Malam mengekalkan kekuatan Dain dalam alam mistik serantau misalnya tongkat dalam Dukun, burung gergasi dalam Interchange, makhluk separa buaya dalam Bunohan dan pohon misteri dari Sumatera, Indonesia.

Filem ini juga cuba membentuk karakter-karakter unik dan jarang dapat ditonton dalam filem-filem Malaysia misalnya sekeluarga yang menjadi pencari hantu.

Unik untuk melihat Dain menggunakan latar rumah pangsa yang mewakili golongan pekerja. Kegelapan dan keterasingan latar berkenaan menonjol, seolah-olah mahu menyebutkan tentang perbahasan jurang kaya-miskin. Ia malah mengingatkan kepada apa yang dibuat Joko Anwar dalam Pengabdi Setan 2.

Namun begitu, filem ini sedikit mengecewakan dari sudut pembangunan karakter, cerita dan dialog yang sudah tentu disebabkan oleh kekurangan dalam penulisan skrip.

Sudah tentu antara yang paling diingati adalah bagaimana karakter sekumpulan detektif diketuai watak lakonan Nabila Huda muncul dan hilang juga secara tiba-tiba. Karakter seperti ini jelas tidak berkesan dalam membantu penceritaan.

Karakter yang kuat, membuatkan kita percaya dengan kemunculan mereka. Ini tidak berlaku dalam Harum Malam kerana banyak karakternya hilang hala tuju serta tidak berkembang dengan baik, termasuklah watak lakonan Nadiya Nisaa dan Remy Ishak yang menguncup sebelum sempat kita mengenali kedua-duanya.

Adegan ikonik

Justifikasi terhadap karakter adalah sesuatu kemestian kerana filem ini menampilkan pelakon-pelakon hebat. Beberapa kesempatan terlepas mudah apabila psikologi wataknya tidak diberi kesempatan untuk diterokai. Malah latar setiap watak itu berdiri di permukaan sahaja, misalnya karakter dimainkan Bront Palarae sebagai seorang tukang urut (dan mungkin pengamal ilmu perubatan tradisional).

Namun begitu, adegan-adegan rasukan dalam filem ini sesuatu yang akan dikenang, malah ada yang bersifat ikonik (jika tidak dikaburkan).

Dalam hal ini, Lembaga Penapisan Filem tidak harus dituding sepenuhnya dalam isu penapisan bagi filem ini kerana Harum Malam kelihatan wajar untuk diberi klasifikasi 18 tahun ke atas kerana terdapat dialog dan adegan yang tidak sesuai untuk klasifikasi 13 tahun ke atas.

Dalam keadaan begitu, Dain tetap bertahan sebagai pembikin filem Malaysia yang mempunyai kekuatan dan kefahaman baik untuk membentuk imej-imej berkualiti dalam usahanya memberi tona seram terhadap filemnya.

Namun sebagai seorang yang berpegang kepada keutamaan terhadap skrip dan penceritaan, imej-imej yang kuat dari sudut teknikal ini kelihatan tidak berkesan dalam menyalurkan seram diharapkan.

Apabila menonton Harum Malam, fikiran lantas teringat kata-kata pengarah filem terkemuka era 1950-an dan 1960-an dari Britain, Alfred Hitchcock.

“To make a great film you need three things – the script, the script, and the script.”

Sukar kita untuk memikirkan kedalaman pemikiran filem ini atau pun menggali makna melalui visualnya jika pembentukan ceritanya tidak bergerak jauh. Harum Malam mempunyai visual yang kukuh dari segi teknikal, namun ia tidak menjelma sebagai hubungan kuat sebagai medium penceritaan.

Harum Malam adalah seram Islami yang selalu kita tonton dalam dunia filem Malaysia. Ia mungkin akan diingati kerana rasuknya, namun mungkin akan pudar ditenggelami kecanggungan watak dan dialognya.


Pengarang :