Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Gombak dan DUN Hulu Kelang di tapak bazar Ramadan Taman Melawati, Ampang Jaya pada 12 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Pelan lima tahun pacu ekonomi negeri, rangkumi lebih 200 projek manfaat rakyat

AMPANG, 13 FEB: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang menjadi kerangka pembangunan negeri untuk tempoh lima tahun ini merangkumi lebih 200 projek bermanfaat kepada rakyat.

Dato’ Menteri Besar berkata agenda bernilai lebih RM200 bilion bermula tahun lalu melibatkan pembangunan wilayah serta kawasan baharu selain penekanan aspek ekonomi dan infrastruktur.

“RS-1 ada projek persekutuan seperti LRT (transit aliran ringan), projek swasta dan awam. Selain itu, ada juga projek Kerajaan Negeri seperti pendalaman Sungai Klang dan Skim Jaminan Air Mentah yang akan sempurna hujung tahun ini atau 2024 bagi mengelakkan pencemaran.

“Pembangunan untuk rakyat ini juga termasuk di Gombak. Kita cuba bangunkan infrastruktur, gabungkan jaringan kemudahan dan jalur lebar untuk kemudahan rakyat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui pada sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang di tapak bazar Ramadan Taman Melawati malam tadi.

Pada 2 Ogos lalu, sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) meluluskan usul projek pembangunan RS-1 2021-2025 berjumlah RM212.44 bilion.

RS-1 menumpukan pertumbuhan ekonomi, memberdaya rakyat melalui program kebajikan, pembangunan lestari, sistem dan perkhidmatan kerajaan yang cekap, telus serta efisien.

Ia turut mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Negeri dan persekutuan tanpa mengetepikan pelan lima tahun Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang masih berjalan dan memberi kesan kepada Selangor.


Pengarang :