Keadaan trek balapan Stadium Mini Kuala Kubu Bharu yang rosak akibat sikap tidak bertanggungjawab pengguna. Foto Facebook MPHulu Selangor
PBTSELANGOR

MPHS tidak teragak ambil tindakan individu rosakkan kemudahan awam

SHAH ALAM, 2 FEB: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) tidak teragak-agak mengambil tindakan kepada mana-mana pihak didapati merosakkan kemudahan awam yang disediakan pihaknya.

Menerusi kenyataan di Facebook, pihak berkuasa tempatan itu kecewa sikap segelintir individu meletakkan kenderaan dalam kawasan Stadium Mini Kuala Kubu Bharu hingga merosakkan permukaan padang dan trek balapan.

“Sikap pentingkan diri sendiri dan tidak bertanggungjawab menyebabkan MPHS terpaksa mengeluarkan kos tambahan bagi kerja baik pulih.

“Tindakan ini menyusahkan pengguna lain yang ingin menggunakan kemudahan ini untuk tujuan riadah dan pelbagai aktiviti lain,” katanya menerusi Facebook.

MPHS memaklumkan pihaknya sudah menyediakan tempat letak kereta berhampiran stadium itu untuk memudahkan orang ramai meletakkan kenderaan masing-masing.

“MPHS tidak teragak-agak mengambil tindakan kepada mana-mana pihak didapati merosakkan kemudahan awam milik MPHS yang sepatutnya dapat digunakan bersama oleh warga Hulu Selangor,” katanya.


Pengarang :