Petugas PKPS membuat persiapan untuk jualan Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Batu Tiga di Seksyen 24 Shah Alam.pada 21 Januari 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Peluang beli beras, ayam, telur murah di sembilan lokasi pagi ini

SHAH ALAM, 18 FEB: Dato’ Menteri Besar mengajak orang ramai mengunjungi program jualan murah anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sembilan lokasi, hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Jelajah Ehsan Rakyat yang diadakan mulai 10 pagi hingga 1 tengah hari menawarkan harga barangan makanan mentah dan asas rendah berbanding pasaran.

“Warga Selangor berpeluang menikmati harga barangan makanan mentah dan asas pada harga lebih rendah berbanding pasaran sempena Jelajah Ehsan Rakyat (JER),” maklumnya di Facebook.

Berdasarkan perkongsian infografik, jualan diadakan di balai raya Kampung Orang Asli Bukit Bangkong (DUN Tanjung Sepat), Dewan Kanchong Tengah (DUN Morib), Jalan Universiti, nombor 46 Jalan Tanjung Api-Api 30/146 Jalan Kebun (DUN Sungai Kandis) dan JKP Apartment Kristana (DUN Paya Jaras).

Lokasi lain ialah Maahd Tahfiz Masjid Pangsun (DUN Dusun Tua), taman permainan Jalan Cempaka 12 Taman Cempaka (DUN Pandan Indah), Masjid Muhammadiah Kampung Kuantan (DUN Bukit Melawati) dan Dataran Tanah Lesen Parit Baru (DUN Sungai Air Tawar).

Jualan kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 15 Januari hingga menjelang Mei.

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :