Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama peniaga pasar rakyat sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang daerah Klang di Jeti Pengkalan Nelayan, Kampung Delek, Klang pada 18 Februari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Peniaga ikan Kampung Delek gembira bangsal kayu usang berubah wajah

KLANG, 18 FEB: Bangsal kayu usang di Pengkalan Nelayan Kampung Delek di sini yang menjadi tempat peniaga menjual ikan segar sejak lebih sedekad lalu kini berubah wajah.

Bangsal yang sebelum ini turut dipenuhi lecak selesai dinaik taraf awal bulan lalu sejak dimulakan akhir 2022 melalui suntikan dana RM50,000 daripada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Imej baharu bangsal itu menggembirakan Nurul Izzati Azmi, 30, dan suaminya, Mohammad Kamal Ramli, 31, sekali gus memberi keselesaan kepada mereka untuk meneruskan perniagaan.

“Asalnya komponen bangsal ini dibuat daripada kayu dan papan, jadi faham-fahamlah bagaimana keadaannya. Lagipun saya berniaga di sini sudah lama, sebelum wujudnya pengkalan nelayan.

“Kemudian ketua kampung datang jumpa saya dan maklumkan yang Kerajaan Negeri mahu tambah baik infrastruktur bangsal ini kepada konkrit.

“Alhamdulillah dalam tempoh kurang sebulan bangsal ini siap dan kami dapat berniaga dengan lebih selesa. Kalau dulu air mudah naik hingga menyebabkan permukaan papan berlecak,” katanya kepada Selangorkini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau kawasan bersama nelayan sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang daerah Klang di Jeti Pengkalan Nelayan, Kampung Delek, Klang pada 18 Februari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, Amirudin dan isteri Datin Seri Masdiana Muhamad meluangkan masa melawat Jelajah Pasar Rakyat di pengkalan jeti berkenaan sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang hari ini.

Dalam pada itu, ibu dua anak yang menetap di Pangsapuri Sri Perantau terharu atas kesudian pemimpin negeri meninjau aktiviti peniaga dan nelayan di pengkalan terbabit.

“Beliau tanya khabar kami di sini, saya cakap semuanya berjalan lancar selain jualan bertambah baik.

“Saban hari penduduk setempat bertumpu di sini untuk membeli ikan segar dari laut seperti ikan senangin, kurau, pari, bawal putih, bawal tambak dan mayong,” katanya.


Pengarang :