RENCANAWAWANCARA

Karya peristiwa agung nabi untuk khazanah, tatapan generasi kini

Israk Mikraj disambut pada 27 Rejab setiap tahun Hijrah oleh setiap umat Islam. Dalam peristiwa itu, Rasulullah SAW dibawa dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin dan kemudian diangkat sehingga ke sidratul muntaha di langit ketujuh.

Pelbagai peristiwa dialami Nabi Muhammad SAW sepanjang perjalanan agung itu.

Antaranya bertemu rasul-rasul terdahulu dan kemudian dibawa mengadap Allah Yang Maha Esa. Israk Mikraj juga menjadi saksi bahawa umat Islam diwajibkan menunaikan solat lima waktu sehari.

Untuk mengingati dan memberi kefahaman kepada lebih ramai umat Islam, ulama-ulama nusantara terdahulu antaranya Syeikh Daud Abdullah al-Fathani telah menulis dan mentafsir mengenai peristiwa
bersejarah itu.

Sempena sambutan Israk Mikraj, wartawan AMIN RIDZUAN ISHAK menyusun kitab ditulis ulama Alam Melayu berkaitan peristiwa agung itu yang menjadi khazanah serta tatapan generasi kini.

Kifayatul Muhtaj

  • Sebuah karya dihasilkan ulama Syeikh Daud Abdullah al-Fathani yang secara khususnya membicarakan peristiwa Israk dan Mikraj yang dilalui Nabi Muhammad SAW
  • Beliau selesai menyusun maklumat dan menulisnya di Makkah pada 27 Muharam 1224 Hijrah
  • Olahan daripada terjemahan risalah Najmuddin al-Ghaithi dan syarahan Syeikh Ahmad Syihabuddin al-Qalyub
  • Kitab ini diulang cetak beberapa kali dan cetakan kedua oleh Mathba’ah at-Taraqqil Majidiyah di Makkah telah ditashih (diakui benar) oleh Syeikh Idris Husein al-Kalantani
  • Tulisan pengarang itu masih digunakan ramai penceramah sehingga kini untuk membicarakan peristiwa Israk dan Mikraj

Jam’u al-Fawaid wa Jawahir al-Qalaid

  • Sebuah lagi kitab tulisan Syeikh Daud yang mengisahkan peristiwa Israk dan Mikraj
  • Selesai ditulis di Makkah pada 27 Jamadilawal 1239 Hijrah
  • Kandungannya secara umum membicarakan ilmu pengetahuan berkaitan sejarah, akidah, fiqh, tasawuf, hadis, tafsir dan doa
  • Syeikh Daud sentuh peristiwa itu dalam bab bulan penting Islam antaranya Rejab

Ward az-Zawahir

  • Syeikh Daud berjaya selesaikan tulisannya untuk kitab ini pada 1245 Hijrah
  • Dalam kitab itu, peristiwa Israk dan Mikraj diceritakan dalam bab mukjizat Nabi Muhammad SAW

Al-Kaukabud Durri fin Nuril Muhammadi

  • Tulisan ulama Syeikh Muhammad Ismail Daudi al-Fathani ini disiapkan d Makkah pada 15 Syaaban 1304 Hijrah
  • Mathba‘ah al-Miriyah al-Kainah mencetaknya pada 1308 Hijrah dan ditashih Syeikh Ahmad Muhammad Zain al-Fathani

Dhau-us Siraj fi Qishshah Isra’ wal Mi‘raj

  • Kitab ini ditulis Syeikh Ahmad Khathib ‘Abdul Lathif al-Minangkabawi
  • Disiapkan pada 27 Rabiulakhir 1312 Hijrah dan dicetak Mathba‘ah al-Miriyah al-Kainah pada 1325 Hijrah
  • Maklumat dalam kitab itu ditashih Syeikh Daud Ismail al-Jawi al-Fathani pada 1326 Hijrah
  • Kitab ini antaranya turut mengutarakan bantahan pemikiran orang Barat berhubung persekitaran Israk dan Mikraj terutama berhubung langit

 


Pengarang :