Petugas PKPS membuat persiapan sebelum penjualan barangan keperluan asas dengan harga murah dalam Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Pelabuhan Klang di Pulau Indah pada 12 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINII
AGENDANASIONALSELANGOR

Pesara sanggup datang dua jam awal untuk dapatkan barangan asas murah

KLANG, 12 FEB: Seorang pesara sanggup datang dua jam awal bagi mendapatkan nombor giliran untuk membeli barangan keperluan dapur dalam program Jualan Ehsan Rakyat (JER) di Laguna Park, Pulau Indah hari ini.

Abdul Malik Zakaria, 65, berkata beliau datang bersama isterinya seawal 8 pagi dan setibanya di lokasi jualan sudah ada beberapa penduduk yang menunggu.

“Alhamdulillah, saya menjadi pengunjung ke-20 dan tidak kisah perlu tunggu sampai 10 pagi untuk beli barang keperluan asas seperti beras, minyak, telur dan ayam.

Abdul Malik Zakaria. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINII

“Pada tahun ini, saya datang ke program jualan murah tiga kali termasuk hari ini kerana berbaloi membeli berbanding pasaran luar,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Operator Terminal Rozaidi Mohamad, 38, berkata beliau datang ke program jualan ini untuk membawa isteri dan beberapa ahli keluarganya membeli barangan keperluan harian.

“Jika tidak bekerja memang saya akan bawa isteri ke program dijalankan berhampiran rumah. Namun, kalau bekerja isteri akan datang sendiri untuk beli barang.

Rozaidi Mohamad. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINII

“Harga ditawarkan murah dan mampu menjimatkan perbelanjaan dapur. Program ini wajar diteruskan kerana membantu keluarga khususnya kurang berkemampuan,” katanya.

Program jualan murah anjuran Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan bermula 15 Januari lalu dengan 11 lokasi setiap hari berbanding sembilan sebelum ini.

Jualan itu berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di 693 lokasi sekitar 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Inisiatif Kerajaan Negeri menawarkan ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).


Pengarang :