Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan dapur yang dijual murah berbanding harga pasaran di Jelajah Ehsan Rakyat (JER) peringkat DUN Seri Serdang di Masjid Al Quddus Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan pada 12 Februari 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Produk beras jenama Ehsan laris di jualan murah negeri, setanding produk di pasaran

PUCHONG, 13 FEB: Mahu mencuba keenakan beras jenama Ehsan keluaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mendorong seorang suri rumah hadir ke program Jelajah Ehsan Rakyat (JER).

Nor Izan Ismail, 53, berkata beliau dimaklumkan oleh sahabatnya beras 5kg yang dijual murah dengan harga RM10 itu amat berkualiti serta setanding dengan jenama beras lain.

Nor Izan Ismai. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Saya pertama kali datang ke program JER ini dan teruja melihat banyak barang dapur dijual murah berbanding kebiasaan.

“Saya beli dua kampit beras dan boleh dijadikan stok sehingga bulan hadapan,” katanya kepada Selangorkini.

Nor Izan merupakan antara lebih 300 pembeli yang mengunjungi jualan murah barangan asas peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang di Masjid Al Quddus di sini.

Aniza Rahim. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Bagi Aniza Rahim, 47, pula, harga barangan keperluan asas yang ditawarkan dalam jualan murah kendalian PKPS amat berbaloi dan berpatutan.

Beliau yang pertama kali datang ke JER turut memuji inisiatif Selangor untuk membantu rakyat terutamanya golongan kurang berkemampuan.

“Saya dapat jimatkan hampir 50 peratus perbelanjaan barangan dapur untuk keluarga. Kalau ada lagi program seperti ini, saya pasti akan datang lagi,” kata kakitangan kerajaan itu.

Program JER menawarkan barangan seperti ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).

Turut dijual pada harga murah ialah ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan dapur yang dijual murah berbanding harga pasaran di Jelajah Ehsan Rakyat (JER) peringkat DUN Seri Serdang di Masjid Al Quddus Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan pada 12 Februari 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :