EXCO Perindustrian dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim bergambar bersama wakil syarikat pemula selepas sesi libat urus antara Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dan kedutaan Amerika Syarikat ketika pelancaran Ruang Pejabat Sandbox Selangor (SSCS) di i-City Shah Alam pada 14 Februari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Program Pemecut Selangor bermula Jun, medan usahawan pelbagai bidang kembang niaga

SHAH ALAM, 15 FEB: Program Pemecut Selangor (SAP) diteruskan tahun ini dijadual bermula Jun dalam usaha membawa usahawan mengembangkan perniagaan, kata EXCO perdagangan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata syarikat pemula yang menyertai program itu akan dibantu dan dibimbing Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec).

“Syarikat pemula terlibat akan diberikan latihan insentif yang melibatkan pakar-pakar dalam perkara diperlukan supaya dapat menjayakan perniagaan diceburi.

“Lima bidang utama dalam program SAP masih dikekalkan teknologi kesihatan, teknologi kewangan, bandar pintar, teknologi hijau dan teknologi pertanian. Namun ada tambahan libat sektor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Ruang Pejabat Sandbox Selangor di ibu pejabat Sidec di sini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping.

Sebelum ini, Chang Khim memaklumkan permohonan syarikat pemula untuk menyertai SAP menunjukkan peningkatan sebanyak 36.4 peratus iaitu 225 permohonan diterima tahun lalu berbanding 165 pada 2021.

Jelasnya, seramai 120 usahawan e-dagang berjaya dilahirkan menerusi SAP sejak diperkenalkan pada 2018.

SAP merupakan program berstruktur yang berlangsung selama tiga bulan bertujuan memberi persediaan 30 syarikat pemula dalam menerima pelaburan.


Pengarang :