Syafie Naswip menunjukkan bakat luar biasa sehingga menjadi pelakon paling muda membawa pulang trofi pelakon lelaki terbaik di Anugerah Skrin ke-11 ketika berusia 16 tahun. Foto Facebook Syafie Naswip FanPage
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANAWAWANCARA

Tiada tawaran berlakon, Syafie Naswip pernah jual ikan untuk sara hidup

OLEH INTAN SYUHADA AKHIR

SHAH ALAM, 15 FEB: Kemunculan Syafie Naswip dalam industri lakonan bermula secara tidak sengaja pada sekitar 2005. Syafie asalnya hanya menemani adik sepupu datang ke uji bakat filem Mukhsin.

Namun, pengarahnya Allahyarham Yasmin Ahmad melihat ada persona pada Syafie dan mengajaknya ikut sama menjalani uji bakat.

Syafie kemudian diberi kepercayaan membawakan watak utama bagi filem Mukhsin yang kemudian membuka lembaran baharu bergelar seorang pelakon yang diburu penerbit dan pengarah.

Dia menunjukkan bakat luar biasa sehingga menjadi pelakon paling muda membawa pulang trofi pelakon lelaki terbaik di Anugerah Skrin ke-11. Syafie pada waktu itu berusia 16 tahun.

Namun, pemergian Yasmin pada 2009, perjalanan lakonan Syafie tidak cerah seperti sebelumnya. Tiada lagi tawaran berlakon. Syafie yang berusia 17 tahun ketika itu melakukan pelbagai kerja untuk menyara keluarga termasuk bekerja sebagai penjual ikan di pasar, menjual burger dan pelayan di kedai makan.

“Dua tahun selepas arwah (Yasmin Ahmad) meninggal, saya tiada tawaran berlakon, waktu itu usia saya 17 tahun. Saya pula tiada kenalan mana-mana rakan di dalam industri menyebabkan saya buat apa sahaja kerja untuk bertahan hidup.

Syafie Naswip diberi kepercayaan membawakan watak utama bagi filem Mukhsin yang membuka lembaran baharu bergelar seorang pelakon. Foto laman web Slant Magazine

“Saya ingat lagi waktu itu saya bekerja sebagai pelayan kedai makan. Tengah ambil pesanan tiba-tiba terserempak dengan Datuk Adi Putra.

“Waktu itu dia ingat saya tengah shooting dan dia tanya mana kamera. Saya jelaskan ini bukan shooting, memang saya bekerja di kedai makan itu. Lepas ambil pesanan, dia bagi saya RM50,”cerita Syafie ketika ditemui Selangorkini baru-baru ini.

Uji bakat

Bukan tidak berusaha menjejaki atau meneroka mana-mana ruang untuk berlakon dalam tempoh dua tahun itu sebaliknya bermacam-macam sesi uji bakat disertai tetapi tiada satu pun yang memihak kepada anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

“Saya rajin pergi uji bakat. Jika 50 kali saya dapat, ada 100 kali yang tak dapat. Sedih bila tak lepas uji bakat. Saya pernah mengadu pada ibu mungkin lakonan saya tak bagus. Jadi orang tak nak ambil saya berlakon.

“Saya kemudian ambil keputusan untuk menjadikan filem Songlap sebagai uji bakat terakhir saya. Saya nekad jika tak dapat juga, saya tak akan berlakon dah.

“Alhamdulillah,saya diterima dan ia menjadi rezeki saya. Sampai sekarang saya masih terus berlakon,” tambahnya.

Filem aksi Songlap yang terbit pada 2011 menjadi naskhah yang melonjak kembali nama Syafie Naswip dalam dunia lakon layar. Memegang watak Adam dalam Songlap melayakkan Syafie meraih anugerah pelakon pembantu lelaki terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-25.

Drama seram

Kini, Syafie berlakon dalam drama seram bertajuk Nenek Bongkok Tiga (NBT) di platform Viu yang dijangka bakal menjadi fenomena kerana nuansa serupa dengan drama Korea Selatan, Squid Game.

Namun, penerbit NBT, Zurina Ramli menegaskan, skrip drama 10 episod itu ditulis lama sebelum Squid Game ditayangkan di Netflix.

 

Ia mengisahkan lapan pemuda terperangkap di dalam rumah agam. Mereka perlu menyelesaikan tugasan disediakan ‘Tuan Tanah’ dengan bermain permainan tradisional seperti batu seremban dan enjit-enjit semut untuk keluar daripada perangkap.

“Saya menerima tawaran ini kerana jalan cerita yang sangat menarik selain saya terlibat dengan beberapa babak aksi.

“Kami mengambil masa 55 hari untuk penggambaran. Ini pertama kali saya bekerja dengan beberapa pelakon baharu dan bakat mereka sangat menakjubkan,” katanya.

Pelakon yang turut menjayakan siri antaranya Sara Ali, Sara Mack Lubis, Hun Haqiem, Meerqeen dan Fimie Don.


Pengarang :