Duta Besar Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel ketika majlis serahan sumbangan DUN Subang Jaya kepada Kedutaan Turkiye di Subang Jaya pada 11 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selimut, khemah musim sejuk antara keperluan mendesak di selatan Turkiye

SUBANG JAYA, 11 FEB: Selimut, khemah musim sejuk, pemanas dan penjana kuasa elektrik adalah empat barang keperluan mendesak ketika ini di selatan Turkiye susulan gempa bumi Isnin lalu.

Duta Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel berkata barangan yang diperlukan adalah mengambil kira keadaan semasa di wilayah itu.

“Sudah pasti kami menerima banyak keperluan lain, tetapi mengambil kira keadaan semasa keutamaan (keperluan) adalah empat barangan berkenaan.

“Sebanyak 10 bandar terjejas akibat gempa bumi itu dan ketika ini segala keperluan di sana sedang diurus dan diselaraskan,” katanya selepas menerima sumbangan pada majlis penyerahan ‘sumbangan kasih daripada Subang kepada Turkiye’ yang disempurnakan Ahli Dewan Negeri Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze di sini, hari ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze menunjukkan sebahagian barangan yang akan dihantar kepada Duta Besar Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel ketika majlis serahan sumbangan di Subang Jaya pada 11 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Hasil sumbangan daripada warga sekitar Subang Jaya itu berjaya mengumpulkan kira-kira 20 tan keperluan musim dingin dan beberapa barangan lain seperti lampin pakai buang bayi dan makanan kering yang akan dihantar ke selatan Turkiye bagi membantu mangsa gempa bumi di wilayah itu.

Menurut Emir Salim, pihaknya amat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan seluruh rakyatnya atas bantuan serta sokongan diberikan.

“Malaysia antara negara terawal menghulurkan bantuan dan kami amat menghargainya,” katanya.

Isnin lalu, gempa bumi kuat dilaporkan melanda wilayah selatan Turkiye Kahramanmaras yang mengorbankan ribuan nyawa setakat ini.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (Afad) Turkiye memaklumkan gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter berlaku pada 4.17 pagi (0117GMT) waktu tempatan itu berpusat di daerah Pazarcik.


Pengarang :