Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sentiasa menumpukan usaha memudahkan urusan kalangan perniagaan dan pembayar cukai. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sistem HASiL alami gangguan perkhidmatan susulan kerja naik taraf

KUALA LUMPUR, 17 FEB: Sistem percukaian Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) akan mengalami gangguan perkhidmatan berikutan kerja menaik taraf komponen elektrik sistem itu, selaras dengan usaha menambah baik mutu serta kualiti perkhidmatan percukaian dalam talian, mulai malam ini.

HASiL dalam kenyataan hari ini memaklumkan gangguan perkhidmatan itu melibatkan capaian sistem HASiL termasuk semua jenis e-perkhidmatan percukaian melalui aplikasi MyTax dan mobile, mulai pukul 10 malam ini hingga pukul 6 pagi Ahad (19 Februari) ini.

Gangguan juga akan dialami di kaunter HASiL Pusat Transformasi Bandar (UTC) sepanjang hari Sabtu ini (18 Februari).

“Bagaimanapun para pembayar cukai masih boleh mendapatkan maklumat percukaian melalui Portal Rasmi HASiL melalui pautan https://www.hasil.gov.my/,” menurut kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / +603-8911 1100 (luar negara), HASiL Live Chat dan borang maklum balas di portal rasmi HASiL https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/.

– BERNAMA


Pengarang :