Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri bergambar bersama pemenang selepas menyampaikan hadiah kejohanan bola jaring kategori bawah tahun 5 sempena Karnival Pembangunan Sukan MSSD Klang di Sport Centre (F.K.A) TM Sport Complex pada 9 Februari 2023. Foto Pusat Khidmat Rakyat N46 DUN Pelabuhan Klang
AGENSISELANGOR

SK (P) Methodist Klang juara bola jaring karnival sukan MSSD Klang

Oleh Shamz Johan

SHAH ALAM, 10 FEB: SK (P) Methodist Klang menjuarai kejohanan bola jaring kategori bawah tahun 5 sempena Karnival Pembangunan Sukan MSSD Klang di Sport Centre (F.K.A) TM Sport Complex semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Kemasyarakatan Majlis Perbandaran Klang (MPK) berkata kejohanan tersebut dianjurkan untuk memberi peluang kepada murid sekolah mempamer kebolehan mereka.

“Tujuan penganjuran untuk menyediakan pentas atau medan buat atlet pelapis mempamer bakat dan kebolehan mereka selain memberi ruang pemain-pemain memantapkan kerjasama berpasukan.

“Karnival ini juga merupakan inisiatif Pejabat Pendidikan Daerah Klang (PPD Klang) dengan kerjasama MPK, Majlis Sukan Daerah Klang (MSD Klang) dan SK (P) Methodist Klang selaku tuan rumah,” kata Ahmad Fahim Rosli yang juga setiausaha MSD Klang.

Menurut Fahim, majoriti pasukan yang menyertai kejohanan tersebut terlibat dalam Program Pembangunan Sukan Daerah Klang di bawah kerjasama tiga agensi MPK, MSD Klang dan PPD Klang.

Pada kejohanan tersebut, SK Abdul Samat, Kapar menduduki tempat kedua manakala tempat ketiga dimenangi bersama SK Bukit Tinggi Klang dan SK Telok Gadong. Juara membawa pulang piala kejohanan dan pingat.

Hadiah disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri. Turut hadir wakil PPD Klang Khalifi Ahmad dan Guru Besar SK (P) Methodist Kasmawati Othman.

 


Pengarang :